Pages

Saturday, June 4, 2011

MLM HPA Industries Sdn. Bhd

Artikel 04 Jun 2011, Laman soal-jawab alFadhil Ust Ahmad Adnan Fadhil.

Soalan; Salam ustaz, saya terjumpa perbahasan berkaitan HPA di internet...link saya berikan di bawah.. sila baca dan beri penilaian mahupun cadangan.. Tidakkah sesuatu perniagaan yg dikatakan harus itu terdapat ciri² & syarat² nya menurut syara'? saya lihat bisnes HPA ini masih dalam keadaan tidak cerah dari kesamaran oleh kerana KEKURANGAN tenaga pakar akademik, benarkah? harap ustaz berikan kerjasama.. kami orang awam mahu mengetahui secara menyeluruh plan bisnes HPA ini & tidak perlulah disitu ada keraguan yg membatasi pengetahuan kami tentangnya.. apa yang kami harapkan bisnes HPA ini adalah jelas nyata & terang... bak kata pepatah "tadop udang di sebalik mee goreng" saya jumpa link ini di laman sesawang... INI LINKNYA: (http://aididmuaddib.blogspot.com/2011/05/panel-syariah-yang-suspek-meh-la-ramai.html).

Jawapan;
  
Sebelum ini ramai bertanya saya tentang sistem perniagaan (MLM atau lainnya) membabitkan syarikat-syarikat tertentu, namun saya mengelak untuk menjawabnya –secara spesifik- kerana saya tidak mengetahui dengan mendalam sistem mereka dan kekangan masa tidak mengizinkan saya membuat kajian (oleh itu, saya hanya memberi panduan umum sahaja). Menjadi prinsip (kaedah) yang diamalkan oleh para Fuqahak sejak dulu; al-Hukmu ‘Ala Syai’ Far’un ‘An Tasawwurihi (penentuan hukum ke atas sesuatu bermula dari tasawwur yang tepat tentangnya).. Maka jika saya memberi pandangan dalam keadaan saya tidak menguasai 100% maklumat tentang sistem terbabit, tidak mustahil hukum yang saya berikan akan tersalah dan menzalimi orang lain.

Namun apabila ditanya tentang sistem MLM HPA, saya tidak dapat mengelak dari menjawabnya kerana saya terlibat secara lansung sebagai salah seorang ahli Panel Syariahnya. Sedikit sebanyak tentang kedudukan MLM HPA telah saya singgung dalam jawapan saya terbaru tentang MLM. Sila baca “BENARKAH SEMUA MLM HARAM?”.

Mengenai keraguan yang ditimbulkan dalam soalan di atas iaitu “…KEKURANGAN tenaga pakar akademik”, ingin saya jelaskan bahawa Sistem MLM HPA untuk setakat ini telah dinilai oleh dua badan yang membuat kajian terperinci tentangnya;

1. Panel Syariah yang dibentuk oleh HPA sendiri; terdiri dari 11 orang ahli akademik pelbagai disiplin ilmu Islam termasuk yang ahli dalam Ekonomi Islam, Usul Fiqh, Furu’ Fiqh dan sebagainya (kebanyakannya Pensyarah-Pensyarah dari Universiti tempatan). Mungkin kekurangan tenaga akademik yang dimaksudkan ialah kerana tiada ahli matematik, biologi, kedoktoran, guaman, statistik dan sebagainya. Itu saya akui. Namun melihat kepada keperluan untuk menilai Sistem MLM, tidaklah terlalu perlu kepada pakar matematik, fizik atau seumpamanya. Jika memang perlu, Panel Syariah akan menjemput pakar yang berkaitan. Itu yang dilakukan oleh Panel Syariah HPA tatkala mengkaji pencampuran Kismis dan Kurma dalam produk EQ Minda (di mana Panel menghantar produk itu ke makmal USM dan merujuk kepada beberapa pakar kimia untuk membaca keputusan makmal tersebut).

Namun ketika mengkaji Sistem MLM HPA, Panel merasakan hisab/matematik/pengiraan dalam MLM tidaklah terlalu rumit untuk difahami dan dikuasai, maka tidak perlulah kepakaran ahli matematik atau seumpamanya, di samping jika ada yang tidak jelas tentang sistem, Panel akan merujuk kepada orang yang terlibat menyediakan Sistem MLM HPA iaitu En Mohd Faisol Abdurrahman. 

Berdasarkan pengalaman saya menyelesaikan ratusan masalah Faraid (dalam blog ini dan ruang-ruang lainnya) –ini menjadi kepakaran saya dan saya telah menghasil buku tentang faraid yang diterbitkan di samping menganjur kursus ilmu Faraid-, saya dapati matematik MLM tidaklah serumit matematik dalam ilmu Faraid.

Dan jika benar ketidakwujudan pakar matematik, statistik atau sebagainya itu satu kekurangan, al-hamdulillah ia telah ditampung oleh badan kedua yang telah mengkaji MLM HPA secara terperinci iaitu Majelis Ulamak Indonesia (MUI).

2. Majelis Ulamak Indonesai (MUI) telah mengeluarkan fatwa rasmi tentang MLM (Fatwa no. 75, Dewan Syariah MUI, 2009). Pembaca boleh membacanya di alamat (http://www.mui.or.id/index.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=92&tmpl=component&format=raw&Itemid=90).
Pada Oktober 2010, saya dan beberapa lagi (termasuk pengerusi Panel Syariah HPA; Ybhg Ustaz Ahmad Ali) mengadap Dewan Syariah MUI (10 orang anggotanya yang hadir) susulan dari permohonan HPA untuk mendapat pengiktirafan MLM Syariah dari MUI. Hampir 5 jam kami diselidiki dan ditanya segala-galanya tentang MLM HPA. Al-Hamdulillah, dua bulan berikutnya Dewan Syariah MUI telah mengeluarkan sijil pengiktirafan sebagai MLM Syariah kepada MLM HPA (Sijil MUI bertarikh 29 Disember 2010, sila lihat sijil ini di blog HPA Indonesia; http://awmithpa.blogspot.com/ (bahagian downloads)). Dewan Syariah MUI dianggotai oleh ahli-ahli dalam pelbagai bidang kepakaran. Pembaca boleh merujuk senarai keanggotaannya di alamat (http://www.mui.or.id/index.php?option=com_content&view=article&id=164:bph-dsn-mui&catid=39:dewan-syariah-nasional&Itemid=58). Dengan keanggotaan yang begitu mantap dan sempurna (jika pembaca memerhati senarai di laman tersebut), saya mengucap syukur kepada Allah apabila mereka turut mengiktiraf MLM HPA, suatu penghargaan yang tidak ternilai buat saya dan sekelian ahli Panel Syariah HPA yang lain kerana keputusan kami telah disahkan oleh badan yang lebih bijaksana dari kami.

Dengan pengesahan dan pengakuan dari dua badan di atas, ahli-ahli HPA atau sesiapa sahaja yang ingin bersama HPA tidak perlu ragu tentang status MLM HPA dari sudut Syariahnya. Jika ada pihak lagi ingin mengkaji sistem MLM HPA, bagi saya sendiri saya amat mengalu-alukan. Tetapi hendaklah dengan disiplin kajian yang rapi, bermula dari membaca dan menghadamkan keseluruhan Sistem tersebut sebagaimana prinsip (kaedah) yang menjadi amalan Fuqahak tadi. Apa yang saya tidak setujui ialah lontaran-lontaran liar tanpa didahului kajian mendalam, atau hanya sekadar melihat satu dua aspek tertentu, lalu dihukum berdasarkan kecenderungan yang sedia ada dalam diri. Kami sendiri (yakni Panel Syariah HPA) mengambil masa 4 bulan sebelum dapat merumuskan apa yang kami rumuskan tentang MLM secara umum dan MLM HPA secara khusus. Majelis Ulamak Indonesia (MUI) pula mengambil masa 2 bulan. Jika ada yang merasakan dapat merumusnya dalam sehari dua sahaja, ia mungkin insan genius atau mungkin juga insan yang berlagak genius.

Kupasan yang spesifik kepada pihak atau individu tertentu agak bertentangan dengan polisi saya untuk blog ini, di mana saya mengkhususkan blog ini untuk soal-jawab agama yang bersifat umum tanpa menyentuh mana-mana individu atau pihak. Namun terpaksa saya lakukan, kerana si penanya mengajukan soalan menerusi blog ini. Pembaca saya selama ini yang tidak berminat dengan perdebatan sebegini mungkin rasa tidak selesa. Jutaan kemaafan saya pohonkan dari mereka. Mungkin saya akan membuka blog baru yang khusus untuk MLM.

Bagi saya Sistem MLM merupakan mekanisma pemasaran yang perlu dimanfaatkan oleh kaum muslimin kerana ia mempunyai kekuatan tersendiri. Walaupun ia asalnya dari Barat, tidak jadi halangan untuk kita memanfaatkan yang baik darinya sama juga dengan Sistem Perbankan, Insuran dan sebagainya yang juga berasal dari Barat (tetapi sekarang telah dibersihkan dan menjadi Perbankan Islam dan Takaful). Ibarat kata sahabat saya Dr. Mawardi (salah seorang ahli Panel Syariah HPA Indonesia, Phd Fiqh dari Universiti Islam Madinah); “MLM bukanlah najis, tetapi mutanajjis. Najis tidak dapat kita sucikan. Adapun mutanajjis (barang yang terkena najis), bila kita buang najis yang terkena padanya, jadilah ia suci. Begitulah MLM, bila dibuang segala unsur yang menyalahi Syariat, jadilah ia sistem yang halal dimanfaatkan oleh umat Islam”.

Wallahu a’lam.

0 comments:

KPT ini ditubuhkan untuk mewujudkan satu pasukan yang terdiri daripada PJS, PPJS peringkat Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta pengurusan HPA (Marketing, Zone, PPU) bagi merancang, menyelaras serta menguruskan semua hal-hal yang berkaitan dengan perlaksanaan program supaya ianya benar-benar dapat mencapai matlamat melahirkan usahawan sebenar. Semoga dengan Kesatuan Fikrah dan Perjuangan akan menghasilkan kejayaan Ummah dalam memartabatkan " PRODUK HALAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA ".

1 HPA 1 PERJUANGAN 1 UMMAH

 

Followers

Hayati perjuangan HPA

" Jangan jadikan Wang sebagai alat utama sehingga lupa diri, dan lupa bahawa HPA lahir dari hasil keringat mereka terdahulu yang berjuang dengan penuh kepayahan."

Boikot